JUMAAT, 24 MAC 2023
KUCHING: Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka pada tahun ini menyaksikan sebanyak sembilan acara berskala besar akan diadakan untuk memeriahkan sambutan Jubli Intan ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan perayaan itu memberitahu, terdapat acara berskala besar yang dirancang akan bermula pada 28 Mei depan iaitu Konvoi Kembara Sarawak Merdeka dan Pameran Digital Sarawak 60 Tahun.
“Konvoi Kembara Sarawak Merdeka akan bermula daripada Lawas yang akan mengembara di setiap bahagian seluruh Sarawak bermula pada 28 Mei dan akan tamat 22 Julai ini.
“Pada 10 Jun, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan mengikuti konvoi ini dari Miri ke Bintulu.
“Acara yang kedua ialah Pameran Digital Sarawak 60 Tahun yang akan diadakan di setiap bahagian di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pelancaran Logo, Lagu, Laman Sesawang dan Kalender Acara Sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan Sarawak) Datuk Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Industri Kreatif dan Seni Persembahan) Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Belia dan Sukan Sarawak) Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Banges Munga.
Dato’ Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menambah, Majlis Kesyukuran Perdana akan diadakan pada 21 Julai yang mana setiap Bahagian di negeri ini akan mengadakannya yang bukan sahaja melibatkan umat Islam, bahkan untuk bukan Islam.
Sementara itu, pada 22 Julai nanti katanya, acara perhimpunan dan perarakan akan diadakan di Padang Merdeka.
Pada hari yang sama, beliau memaklumkan acara ‘Commemorative Medal’ akan diadakan di Hotel Waterfront Kuching iaitu pemberian medal yang dianugerahkan khas kepada para penerima yang telah berbakti kepada Sarawak.
Pada sebelah malam pula katanya, akan diadakan Majlis Jamuan Negeri di Dewan Undangan Negeri Sarawak serta Konsert Rakyat dan Persembahan Bunga Api akan diadakan di Padang Merdeka.
Selain itu, Dato’ Sri Abdul Karim mendedahkan, Perarakan Kapal Berhias juga menjadi acara utama dalam sambutan perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka yang akan diadakan pada 29 Julai ini nanti.
Tambahnya lagi, ‘Street Parade’ juga akan diadakan di Kuching pada 5 Ogos, di Sibu pada 12 Ogos dan di Miri pada 19 Ogos kelak.
Dato’ Sri Abdul Karim menjelaskan, penganjuran sambutan ini adalah sebagai platform untuk memupuk rasa bangga menjadi anak Sarawak yang mempunyai jati diri yang utuh selain memperkukuhkan kesatuan seluruh rakyat agar hidup saling menghormati walau berbeza agama, bangsa dan budaya.
Terdahulu, beliau bersama tetamu kehormat yang lain telah menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Mencipta Logo 60 Tahun Sarawak Merdeka iaitu Eddie Harmonizam Morni yang membawa pulang wang tunai RM5,000 dan bagi pemenang Pertandingan Mencipta Lagu Tema 60 Tahun Sarawak iaitu Kaderi Awang Lihi membawa pulang RM20,000.
Sejurus selepas itu, Dato Sri Abdul Karim dan tetamu kehormat menyempurnakan simbolik pelancaran Logo, lagu, Laman Sesawang dan Kalender Acara Sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka.-Edisi UKAS