SABTU, 25 MAC 2023
SIBU: Seramai enam individu menerima sijil pelantikan sebagai Tuai Rumah di kawasan Siong Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin dalam majlis ringkas diadakan di Pejabat Pegawai Daerah Sibu pada Jumaat.
Pelantikan tersebut merangkumi tiga lantikan lanjutan dan tiga lantikan baru yang telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang.
Dalam ucapannya, Christopher Gira menyeru kepada tuai-tuai rumah supaya berkhidmat dengan telus dan ikhlas dan bertindak sebagai perantara antara kerajaan dan penduduk rumah panjang.
“Tuai Rumah juga dinasihatkan supaya sentiasa berhubung dengan Pejabat Dearah sekiranya ada masalah ataupun ingin mengemukakan permohonan pembangunan rumah panjang,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan mereka supaya sentiasa merujuk kepada Pegawai Daerah atau Residen berkenaan polisi dan dasar kerajaan termasuk projek pembangunan sekiranya perlu.
“Adalah penting selaku pemimpin akar umbi memiliki disiplin tinggi, integriti serta ilmu pengetahuan,” ujarnya lagi.
Jelasnya, pelantikan Tuai Rumah merupakan pilihan sebulat suara daripada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) dan tempoh lantikan pertama selama empat tahun dan lantikan lanjutan adalah dua tahun.
Turut hadir dalam majlis tersebut Pegawai Dearah Sibu Khalid Andong dan tuai-tuai rumah. – EDISI UKAS