SABTU, 25 MAC 2023
KUCHING: Penambahbaikan Akta Orang-Orang Papa 1977 dalam usaha menangani isu pengemis dijangka selesai September ini.
Demikian jelas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri ketika ditemui media dalam Program Rahmah Ramadan bersama penghuni Desa Bina Diri (DBD) Kuching, di sini pada Sabtu.
Katanya, kementerianya akan mengumumkan dapatan kajian itu serta langkah seterusnya yang akan diambil bagi meminda akta tersebut.
“Setakat ini memang belum ada keputusan tapi kita sedang mengkaji sebab kita hendak memperbaiki bukan satu akta sahaja yang kita nak kaji semula tetapi beberapa akta yang ada,” katanya.
Tambahnya, pihaknya akan mempertimbang keperluan menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mengendali penghuni DBD yang dikategori sebagai pesakit mental.
Ia berikutan statistik DBD Kuching menunjukkan bahawa setakat ini, sejumlah 63.1 peratus atau 24 penghuninya adalah pesakit mental yang mendapat rawatan susulan di Hospital Sentosa.
DBD ditubuhkan untuk memberi jagaan, perlindungan dan pemulihan kepada pengemis dan orang papa bagi melahirkan individu yang produktif dan berkemahiran ke arah perubahansikap yang positif untuk diintegrasikan semula ke dalam masyarakat.
Untuk rekod, seramai seramai 50 orang iaitu 25 orang lelaki dan 25 orang perempuan yang telah mendapat perlindungan di DBD ini.
Selain Kuching, terdapat empat lagi institusi yang menempatkan kes orang papa termasuk pengemis iaitu DBD Mersing di Johor, DBD Jerantut, Pahang, DBD Kota Kinabalu, Sabah dan Pusat Sehenti Bina Diri Sungai Buloh, Selangor.-EDISI UKAS