SABTU, 25 MAC 2023
MIRI: Pembangunan modal insan generasi muda merupakan kunci utama bagi sesebuah negara untuk terus kekal dalam menghadapi persaingan ekonomi global.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata kemajuan negara tidak dapat dicapai tanpa adanya modal insan yang berilmu dan berkemahiran.
“Generasi muda merupakan aset terpenting dalam pembangunan sesebuah negara.
“Justeru itu, pendidikan adalah kunci kepada tamadun manusia dan kemajuan sesebuah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Dana Pendidikan untuk Sekolah Menengah Persendirian Pei Min, Sekolah Menengah Persendirian Riam Road serta bantuan pendidikan untuk pelajar Cina daripada keluarga yang memerlukan di sini pada Sabtu.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin itu menambah, sistem pendidikan yang sempurna juga adalah penting untuk melahirkan tenaga kerja yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berpengetahuan serta kreatif dan inovatif pada masa depan.
“Tenaga kerja mahir sangat diperlukan oleh industri dan negara kita.
“Oleh itu, sistem pendidikan semasa juga perlu relevan supaya dapat memenuhi keperluan tenaga mahir negara dalam sektor perkhidmatan dan perindustrian.
“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan kita melahirkan tenaga kerja mahir yang benar-benar kompeten sejajar dengan keperluan industri dunia,” tambahnya.
Dalam program berkenaan, sebanyak 11 buah sekolah rendah dan 14 buah sekolah menengah yang melibatkan 288 pelajar menerima dana pendidikan.
Sekolah rendah yang terlibat ialah SJK (C) Chung Hua Miri, SJK (C) Chung Hua Krokop Miri, SJK (C) Chung Hua Pujut Miri, SJK (C) Chung Hua Lutong Miri, SJK (C) Chung Hua Tudan Miri, SJK (C) Chung San Miri, SJK Tukau Miri, SJK Chung Hua Bakam, SJK Miri Utara, Sekolah Kebangsaan Saint Columba dan Sekolah Kebangsaan Saint Joseph.
Manakala bagi sekolah menengah yang terlibat pula ialah SMK Chung Hua Miri, SMK Saint Columba, SM Pei Min, SM Riam Miri, SMK Saint Joseph, SMK Lutong, SMK Pujut, SMK Riam, SMK Luak, SMK Dato Permaisuri, SMK Baru, SMK Lopeng Tengah, SMK Merbau dan SMK Taman Tunku.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Cina Miri Temenggung Yong Vui Seng, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Persendirian Riam Road Miri Dato Sri Lau Hieng Su, Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Persendirian Pei Min Khor Ooi Long dan ahli lembaga sekolah yang lain.-Edisi UKAS