RM 29.6 Juta Diperuntukan Bagi Membersih Sungai Tersumbat Kurangkan Banjir Luar Bandar

AHAD, 26 MAC 2023

SPAOH:  Peremier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluluskan sejumlah RM29. 6 juta untuk membersihkan sungai tersumbat di negeri ini dalam usaha mengurangkan banjir diluar bandar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, cadangan itu adalah untuk melaksanakannya di beberapa banyak sungai secepat mungkin. 

“Agak mustahil untuk kami bersihkan semua sungai tapi kami berharap ianya dapat dilakukan sebanyak yang boleh sebelum musim tengkujuh akan datang,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat beberapa projek besar untuk menyemak kemajuan projek tersebut pada Sabtu. 

Jelasnya lagi, mengenai kejadian banjir kilat di Kuching dan pekan lain di negeri ini baru-baru ini, beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Katanya, banjir kilat itu berpunca daripada sistem perparitan yang tersumbat.

Katanya lagi, terdapat juga cadangan daripada Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS), yang juga termasuk membersihkan beberapa longkang.

“Kami masih menyelesaikan perkara ini kerana beberapa longkang di bawah bidang kuasa JPS, ada di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain.

“Kerajaan berharap dapat mencari penyelesaian jangka panjang selain penyelesaian jangka pendek,” ujarnya. 

Datuk Amar Douglas Uggah menambah semasa menjadi menteri alam sekitar persekutuan, beliau hanya berjaya melaksanakan satu pakej program tebatan banjir di Kuching.

“Oleh kerana ini belum diteruskan, impaknya masih belum ada.

“Kami masih menunggu untuk melaksanakan selebihnya.

“Masalah banjir kilat ini bukan baharu tetapi kami mengambil pendekatan berbeza terhadap isu yang sangat rumit ini,” katanya lagi.-EDISI UKAS 

add comment