AHAD, 26 MAC 2023
SPAOH: Jalan konkrit mungkin satu pilihan yang lebih baik untuk jalan di kawasan kampung dan rumah panjang.
Menurut Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas jalan konkrit didapati lebih tahan lama dalam keadaan rupa bumi tertentu.
“Beberapa buah jalan di kawasan saya (DUN Bukit Saban) menggunakan jalan konkrit dan didapati lebih tahan lama terutamanya di kawasan yang curam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) termasuk projek jalan di Bukit Saban di sini pada Ahad.
Turut hadir Ahli parlimen Betong Dr. Richard Rapu.
Datuk Amar Douglas Uggah menambah beliau akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkara tersebut untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kesesuaiannya untuk dilaksanakan di kawasan tertentu.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembanguan Pelabuhan berkata sejumlah RM7.35 juta telah dibelanjakan untuk pelaksanaan 43 projek pembangunan di kawasannya sejak tiga tahun lepas.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 30 projek telah siap dan selebihnya dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Agensi pelaksana termasuk Majlis Daerah Betong, JKR dan Jabatan Saliran dan Pengairan,” jelasnya.
Beliau sekali lagi menegaskan pihaknya akan terus memantau dengan rapi setiap projek yang dilaksanakan.
“Kita mahu setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual dan kualiti yang ditetapkan.
“Kontraktor yang ada menghadapi masalah sentiasa dialukan berbincang dengan wakil rakyat kawasan,” katanya.-EDISI UKAS