Kerajaan Komited Bantu Pekebun Kecil Getah

SELASA, 28 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa komited membantu pekebun kecil terutamanya yang terlibat dalam sektor getah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Dato Sri Fadillah Yusof berkata, pihaknya sentiasa menggunakan kaedah berbincang dengan semua agensi berkepentingan ke arah memajukan komoditi itu.

“Untuk makluman berhubung saranan supaya semua agensi berkepentingan mahupun industri untuk duduk bersama adalah satu pendekatan yang sentiasa diamalkan oleh KPK.

“Kerajaan sentiasa komited dalam merangka dasar dan strategi untuk meningkatkan daya saing dan daya maju industri getah negara,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif membantu pekebun kecil terutama ketika harga getah rendah.

Jelasnya, harga produk ini adalah ditentukan oleh permintaan dan penawaran antarabangsa.

“Selain itu, faktor lain yang mempengaruhi harga getah asli ialah prestasi pasaran hadapan, harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang asing dan pertumbuhan ekonomi negara-negara pengeluar serta pengimport utama getah dunia,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri menambah, kementeriannya telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya Insentif Pengeluaran Getah (IPG), menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG kepada RM2.70 daripada RM2.50 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350 juta dan memperkenalkan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) bagi membantu industri tersebut.

“Setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program IPL akan menerima bantuan dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off),” tambahnya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Menurutnya lagi, agensi di bawahnya, Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga telah menambah baik proses pembayaran bagi memudahkan penyaluran bantuan seperti IPG dan IPL.

Dalam pada itu jelas beliau, bagi meningkatkan penggunaan getah asli di Malaysia, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta untuk penggunaan Cuplump Modified Bitumin (CMB) untuk penyelenggaraan jalan.-EDISI UKAS

add comment