MoU Wujud Usaha Sama Perlindungan Alam Sekitar Miri Dimeterai

SELASA, 28 MAC 2023

MIRI: Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pejabat Residen Bahagian Miri dengan Persatuan Peniaga Sekendhend dan Kitar Semula Miri telah dimeterai untuk mewujudkan usaha sama bagi melaksanakan projek berkaitan perlindungan alam sekitar di kawasan Miri.

MoU tersebut ditandatangani oleh Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf serta Pengerusi Persatuan Peniaga Sekendhend dan Kitar Semula Miri Bryan Chia Sak Chan dalam satu majlis ringkas di sini pada Isnin.

Melalui MoU tersebut, Pejabat Residen Bahagian Miri akan terus terlibat dalam Projek EcoBrick yang bertujuan untuk mendidik warga tempatan tentang isu penggunaan plastik sekali guna terutamanya ‘soft plastic’ yang menyebabkan pencemaran pantai.  

Selain itu, pemeteraian MoU berkenaan juga memfokuskan kepada usaha mewujudkan persekitaran yang mampan dan hijau serta membina mercu tanda dan tempat pelancongan baharu di Miri.

Difahamkan, Pejabat Residen Bahagian Miri bersama Pejabat-Pejabat Daerah Subis, Telang Usan, Beluru dan Miri telah menjayakan projek tersebut sebelum ini dengan mengumpulkan sebanyak 573 botol EcoBrick.

Manakala, jumlah botol EcoBrick yang telah dikumpul oleh Persatuan Peniaga Sekendhend dan Kitar Semula Miri dicatatkan sebanyak 11,464 botol setakat ini. -EDISI UKAS

add comment