Peruntukan RM86.09 Juta, 86,095 EFS Dibuka Setakat Februari Lepas

KHAMIS, 30 MAC 2023

KUCHING: Sebanyak 86,095 akaun Endowment Fund Sarawak (EFS) telah dibuka dari tahun 2019 sehingga Februari lepas yang melibatkan peruntukan sebanyak RM86.09 juta.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, EFS merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak dengan pemberian sebanyak RM1,000 dalam bentuk simpanan amanah kepada setiap kelahiran anak Sarawak bermula pada tahun 2019.

“EFS bertujuan untuk membantu anak-anak Sarawak sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi.

“Ianya juga dapat digunakan untuk memulakan karier sebagai modal kecil perniagaan sekiranya tidak ingin melanjutkan pelajaran selepas berumur 18 tahun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Mesyuarat Jawatankuasa EFS Bil 1, 2023 di sini pada Khamis.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan permohonan EFS boleh dilakukan secara manual di semua 52 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di negeri ini.

Manakala ujarnya, bagi yang berada di luar Sarawak, permohonan boleh dibuat dengan mengeposkan semua dokumen yang diperlukan.

Tambah beliau, permohonan secara atas talian boleh dilakukan dengan memuat turun aplikasi iSarawakCare di Google Play Store atau Apple App Store bermula 1 Mei 2023.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Mohammad Razi Sitam, Setiausaha Tetap KPWK Noriah Ahmad, Timbalan Setiausaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah dan Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak KPWK Salina Bujang. -Edisi UKAS

add comment