JUMAAT, 31 MAC 2023
STAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim meluangkan masa menunaikan solat fardhu Isyak dan solat sunat Tarawih bersama penduduk Kampung Stakan Melayu di Masjid Darul Taqwa, di sini pada Khamis.
Selepas berjemaah, beliau berkesempatan menyatuni dan memberi buah tangan kepada para jemaah yang hadir.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada jawatankuasa Masjid Darul Taqwa berjumlah RM3000 dan meluluskan peruntukan RM5000 untuk menambah baik sistem siar raya.
Datuk Hamzah berharap sumbangan tersebut akan memberi manfaat dan dapat membantu jawatankuasa masjid serta surau mengimarahkan lagi aktiviti keagamaan dalam organisasi di kampung masing-masing.
Dalam ucapan ringkas, beliau menekankan agar semua yang hadir untuk mengamalkan sifat kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan pada bulan yang mulia ini.
Jelasnya, kesederhanaan yang dimaksudkan adalah dari segi percakapan, perbelanjaan, pergaulan dan lain-lain.
Pada masa sama, beliau turut menjemput semua penduduk Kampung Stakan Melayu untuk berkunjung ke rumah terbuka N.17 Stakan pada hari raya kelak.
Hadir sama ialah Penghulu Kampung Pangkalan Kuap Buhari Abu Supian, Pengerusi Masjid Darul Taqwa Kampung Stakan Melayu Zainuddin Bakar dan Ketua Kampung Pengkalan Kuap Sabawi Bahar. -Edisi UKAS