SABTU, 1 APRIL 2023
KUCHING: Kementerian Perpaduan Negara tampil dengan insiatif Program Gerak Rahmah 2023: Jom Masak Bubur Lambuk bersempena dengan bulan Ramadan yang mana ia diadakan secara serentak di seluruh negara pada Sabtu.
Menurut Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang, program gotong-royong memasak dan agihan bubur lambuk oleh Kawasan Rukun Tetamgga (KRT) itu merupakan aktiviti yang dapat menyemarakkan dan memperkukuhkan semangat gotong-royong, bekerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang kaum dan agama untuk datang ke program berkenaan.
“Kita dapat melihat tadi yang datang bukan masyarakat Melayu sahaja, bahkan mereka yang berbangsa Cina, Iban dan lain-lain pun ada.
“Dalam Kementerian Perpaduan, inilah yang kita inginkan dan disebabkan itu, kita mengadakan ini bersama-sama dengan komuniti dan Kawasan Rukan Tetanggan (KRT) di sini.
“Kita melihat mereka amat aktif. Terima kasih kepada mereka,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan program berkenaan di Dewan Serbaguna Kampung Semariang Batu (KASBA) di sini pada Sabtu.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Dato Indera Noridah Abdul Rahim dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak Dirwana Azool.
Datuk Aaron Ago menambah, program tersebut menyaksikan sebanyak 300,000 bekas bubur lambuk disediakan di seluruh negara untuk diagih kepada masyarakat.
Dalam majlis sama, beliau dan tetamu kehormat turut menyempurnakan simbolik penyampaian Bakul Rahmah kepada 12 orang wakil penerima.-Edisi UKAS