SABTU, 1 APRIL 2023
MIRI: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SEBERKAS) Cawangan Senadin telah menganjurkan sebuah Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Pengangkutan Sarawak (MOTS) Dato Sri Lee Kim Shin pada Jumaat.
Agensi yang terlibat termasuklah Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Miri, Pejabat Residen Miri, Pejabat Daerah Miri dan kelab RANDO Bahagian Miri.
Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk menjalinkan hubungan silaturahim di antara KMKK dengan SEBERKAS Cawangan Senadin serta Kelab RANDO Miri khususnya pada bulan Ramadan.
Dalam ucapan ringkas, Dato Sri Lee Kim Shin merakamkan penghargaan kepada mantan Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf yang bersara pada 31 Mac 2023 setelah berkhidmat selama lebih 38 tahun bersama kerajaan negeri.
Beliau memuji Abdul Aziz atas usaha gigih dan kerjasamanya dengan agensi kerajaan lain dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBB) Miri menangani pandemik COVID-19 bermula 2020 sehingga menjadikan Bahagian Miri antara yang berjaya mencatatkan kadar kematian terendah di Sarawak.
Dalam majlis sama, turut disampaikan sijil penghargaan kepada 13 bekas ahli Jawatankuasa Saberkas Cawangan Senadin untuk sesi 2020-2022.
Hadir sama Pengerusi Sarbekas Cawangan Senadin Miri Deammy Sim, Ahli Majlis Bandaraya Miri Cr Jeffery Phang dan Cr Yap Siew Jin. -Edisi UKAS