RABU, 5 APRIL 2023
SIBURAN: Semua ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) serta pemimpin masyarakat harus sentiasa berintegriti dalam memantau segala aktiviti atau projek di kawasan masing-masing.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil, ia amat penting agar semua aktiviti atau projek pembangunan yang dilaksanakan berjalan dengan lancar sekaligus memberikan manfaat kepada rakyat.
Jelasnya, sebagai pemimpin masyarakat yang dilantik, tumpuan dan tanggungjawab terhadap masyarakat harus diutamakan.
“Kita tidak mahu integriti kita dipersoalkan dan tidak mahu hak masyarakat kita dipermainkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi dan tidak jujur.
“Jika kita imbas kembali, pemimpin yang berintegriti merujuk kepada pemimpin yang mempunyai prinsip moral yang kukuh, berpegang pada kata-kata dan sentiasa melakukan perkara yang betul dan mengikut etika.
“Kita semua harus menjadi contoh dan teladan kepada anak-anak dan masyarakat pada amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Jelajah Intergriti Siri 6 Tahun 2023 Daerah Siburan di sini, pada Rabu.
Datuk Dr. Jerip menambah, semua pemimpin masyarakat harus peka dengan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing dan jangan ragu untuk melaporkan isu yang dihadapi.
“Saya percaya pihak kerajaan Sarawak amat komited untuk membentuk dan membudayakan masyarakat berintegriti yang meliputi semua peringkat seperti pegawai-pegawai awam, pemimpin-pemimpin masyarakat sehinggalah keseluruhan lapisan masyarakat agar budaya berintegriti dan keutuhan peribadi yang tinggi ini dapat dipupuk dan diterapkan di dalam setiap sanubari masyarakat.
“Kita perlu sedar bahawa komunikasi dan interaksi dengan rakyat menuntut kita semua sebagai pemimpin di semua sektor, baik di peringkat pelaksana mahupun pemimpin masyarakat, harus berada di landasan komunikasi yang sama.
“Saya pasti semua dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan bertujuan untuk memudahkan urusan rakyat supaya setiap agensi kerajaan itu lebih dekat di hati setiap rakyat,” ujarnya.
Untuk rekod, dianggarkan seramai 180 orang peserta program yang hadir terdiri daripada KMKK, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penjawat awam dan kaunselor.
Hadir sama dalam majlis perasmian program tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak, Semawi Mohamad, Timbalan Residen Serian, Caroline Cleophas Joseph dan Pemangku Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari. -EDISI UKAS