Warga Sarikei Meriahkan Program Lan Berambeh Sungkey

AHAD, 9 APRIL 2023

SARIKEI: Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab menyertai sekitar 150 orang warga Sarikei berbuka puasa beramai-ramai di Kompleks Sukan Integrasi, Kampung Seberang Sarikei.

Program Lan Berambeh Sungkey anjuran Downtown adalah penganjuran yang kedua selepas edisi pertama tahun lepas dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN N41 Kuala Rajang dan Pusat Khidmat Parlimen P.206 Tanjong Manis.

Meskipun pada awalnya cuaca tidak begitu mengizinkan berikutan hujan lebat namun ia tidak menghalang orang ramai untuk hadir memeriahkan program berkenaan.

Pada program itu, Ir Yusuf turut mengagihkan minuman dan juadah kepada masyarakat yang hadir sama.

Beliau dalam pada itu gembira dengan sambutan yang amat baik dan mahu ia dilaksanakan lagi pada tahun hadapan.

Ir Yusuf turut menyeru agar semua umat Islam terus mengukuhkan silaturrahim antara mereka dan menasihati para pelajar yang hendak balik kampung menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti agar merancang awal perjalanan supaya tidak terkandas atau sebagainya di samping menjaga keselamatan masing-masing. – EDISI UKAS

add comment