SUPP Senadin Beri Sumbangan Kepada 260 Keluarga B40 Sempena Hari Raya

SELASA, 11 APRIL 2023

MIRI: Sebanyak 260 keluarga B40 melibatkan 13 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin telah menerima sumbangan bagi meringankan beban menjelang persiapan menyambut Hari Raya.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, para penerima terdiri daripada golongan memerlukan yang beragama Islam di mana pengagihan sumbangan itu merupakan komitmen tahunan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Senadin.

“Sejumlah 260 buah keluarga miskin masyarakat Islam termasuk orang kurang upaya (OKU), miskin tegar dan warga emas telah menerima sumbangan berbentuk hamper makanan dan wang bagi meringankan masalah mereka khususnya ketika musim perayaan ini.

“Sumbangan ini adalah komitmen berterusan untuk membantu bagi membangkitkan perasaan kasih sayang dan gembira dalam kalangan golongan kurang berkemampuan sempena perayaan Hari Raya,” katanya ketika ditemui semasa lawatan menyantuni para penerima sekitar DUN Senadin di sini pada Ahad.

Dalam lawatan itu yang diadakan pada 8 dan 9 April lepas, Dato Sri Lee serta pasukan SUPP Cawangan Senadin telah mengagihkan sumbangan kepada para penerima dari Kampung Masjid, Kampung Muhibbah, Kampung Batu Satu, Kampung Senadin Jaya, Kampung Pangkalan Lutong, Kampung Tudan Fasa 2, Kampung Tudan Fasa 4 dan 5, Kampung Tanjong Batu, Kampung Haji Wahid, Kampung Lopeng Katong, Kampung Lopeng Tengah, Kampung Lembah Hijau dan Kampung Riam Jaya.

Turut hadir Pemanca Ling Leh King, Kapitan Chong Ah Muk, Kapitan Chai Kuen Min, Kapitan Ngieng Hok Diing, Kapitan Chong Kee Hua, kaunselor Yap Siew Jin, Kaunselor Nicholas Toh dan Kaunselor Raymond Jenang. -EDISI UKAS

add comment