RABU, 12 APRIL 2023
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing menyeru Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah perparitan di Perumahan Taman Bintang Bintangor agar tidak menimbulkan kegusaran penduduk di kawasan itu.
Aduan mengenai masalah perparitan di perumahan Taman Bintang Bintangor telah diterima melalui Pusat Khidmat daripada penduduk perumahan kerana setiap kali hujan atau air pasang akan mengakibatkan longkang perumahan tersumbat.
Selain itu, terdapat longkang air hujan dan air pasang yang tidak mengalir keluar kerana tidak mempunyai sistem saliran yang lengkap untuk mengalir keluar ke sungai berhampiran.
Justeru pihak DID yang dipengerusikan oleh Penolong Jurutera Awam DID Bahagian Sarikei, Mary bersama Jurutera Awam MDMJ, Robin Roy turut turun padang untuk meninjau sendiri saliran di perumahan tersebut pada Selasa.
Datuk Ding dalam pada itu merakamkan terima kasih atas kerjasama semua pihak dan kehadiran ahli majlis dan ketua masyarakat setempat dalam bersama-sama menjaga kebersihan.-EDISI UKAS