JUMAAT, 14 APRIL 2023
BETONG: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Layar telah mengadakan ziarah di enam buah kampung Melayu di Betong untuk menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf.
Seramai 30 orang asnaf dengan pecahan lima orang setiap kampung telah dikenalpasti sebagai penerima.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu telah hadir sebagai tetamu kehormat di majlis berbuka puasa seterusnya menyantuni para Ahli Jawatankuasa (AJK) Ranting Wanita PBB di Anjung Usahawan Betong pada Khamis.
Dato Gerald turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak Wanita PBB atas kejayaan penganjuran Program Ziarah dan Majlis Berbuka Puasa ini.
Selain itu, beliau merakamkan penghargaan kepada sokongan padu khasnya para AJK ranting dan masyarakat di kampung terhadap parti PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kerjasama dan usaha kita adalah untuk mempertingkatkan apa yang kita ada.
“Nilai saling membantu dan bersatu di dalam kepelbagaian dilihat sudah sebati dengan kita di sini dan terima kasih atas peranan masing-maaing di dalam memelihara dan mengekalkan semangat ini,” katanya semasa berucap.
Turut hadir Timbalan Ketua PBB Cawangan N.36 Layar Abang Ulie Abang Pay, Penghulu Kampung Melayu Betong Abang Suhailie Abang Pay, Timbalan Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan N.36 Layar Dayang Madinah Abang Yaman, Kaunselor Abdul Rahim Zaini dan Ketua-ketua Kampung. – EDISI UKAS