PERKIM Cawangan Lawas Beri Sumbangan Aidilfitri Kepada 1,041 Golongan Memerlukan

SABTU, 15 APRIL 2023

LAWAS: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lawas meneruskan tradisi menghulurkan bantuan sempena Aidilfitri dengan memberi sumbangan kepada 1,041 golongan memerlukan dari sekitar daerah Lawas. 

Pemberian sumbangan itu melibatkan penerima yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan juga anak yatim. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia merupakan inisiatif tahunan PERKIM Cawangan Lawas dengan tujuan menceriakan suasana menjelang Hari Raya untuk para penerima. 

“Kita bersyukur kerana melalui PERKIM dengan kerjasama agensi lain, kita dapat menyelaras program sebegini. 

“Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang yang tetap setia bersama pertubuhan tersebut dalam memberi sumbangan pada setiap tahun. 

“Semua ini adalah untuk membantu mereka yang memerlukan mengikut keadaan. Yang mana dapat kita bantu, kita akan memberikan bantuan,” katanya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada OKU, Anak Yatim dan Ibu Tunggal 2023M/1444H di sini pada petang Jumaat. 

Dalam program tersebut, pemberian sebahagian sumbangan telah disempurnakan oleh Datuk Amar Awang Tengah serta Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud manakala sebahagian lagi akan diserahkan terus kepada penerima di rumah dan kampung masing-masing. 

Terdahulu, Dato Dayang Morliah berkata, pertubuhannya gigih mencari dana daripada pelbagai sumber untuk menjalankan sebarang aktiviti. 

“Alhamdulillah PERKIM Cawangan Lawas berkembang dengan baik dan Insya Allah kita akan terus berusaha dari segi aktiviti pendidikan, dakwah dan sosial,” jelasnya. 

Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok serta Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa dan Sam Laya. -EDISI UKAS 

add comment