AHAD, 16 APRIL 2023
MIRI: Seramai 51 asnaf di sekitar Keluru Jaya di sini menerima sumbangan bakul makanan serta wang tunai dalam Program Ziarah UKAS Semarak Ramadan tahun 2023.
Sumbangan diserahkan bersama oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Keusahawanan) Dr. Ripin Lamat dan Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pemantauan dan Pembangunan Komuniti Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Anwar Hanafi Ardimansyah pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dr Ripin sempat merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada UKAS kerana telah memilih Masjid Hamidiah Kampung Keluru Jaya bagi menjayakan program berkenaan.
“Kita amat mengalu-alukan program UKAS bersama komuniti di dalam penganjuran sebegini dan dalam masa yang sama pihak UKAS telah memberikan sumbangan kepada masyarakat kita yang memerlukan.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini saya ingin merakamkan penghargaan kepada UKAS yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini.
“Harapan kita adalah program sebegini dapat diteruskan di kawasan lain dan kerjasama UKAS dengan Pusat Khidmat dan pemimpin komuniti dapat memberikan manfaat kepada komuniti,” katanya ketika menyempurnakan program tersebut.
Terdahulu satu Ceramah Kesyukuran bersempena ‘Sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka’ turut disampaikan oleh Pegawai Seksyen Pemantauan dan Pembangunan Komuniti UKAS, Ustaz Mohd Noorhamizan Hamid serta penyampaian sijil penghargaan kepada ketua-ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Keluru Jaya.
Selain itu, turut diadakan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah bersama tetamu jemputan.
Turut hadir,wakil Residen Bahagian Miri Ashard Samshu, wakil Pegawai Daerah Subis Dr. James Jam Jolly, Setiausaha Politik Premier Sarawak Sarkawi Suhaili dan pemimpin-pemimpin masyarakat Keluru Jaya.-EDISI UKAS