PERKIM Cawangan Sibu Bersama Yayasan Farley Anjur Program Ihya Ramadan

ISNIN, 17 APRIL 2023

SIBU: Seramai 70 anak yatim dan golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan makanan dan duit raya pada program Ihya Ramadan anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Sibu dengan kerjasama Yayasan Farley di sini pada Ahad.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Sibu Datin Sharifah Zaidah Syed Abdul Aziz, ia adalah program tahunan PERKIM Cawangan Sibu khusus pada bulan puasa.

“Sumbangan makanan adalah daripada Yayasan Farley manakala duit raya daripada PERKIM dan orang perseorangan.

“Selain itu, sumbangan yang sama juga akan disampaikan kepada 30 saudara-saudara kita di Sentosa, Salim yang terdiri daripada ahli PERKIM,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu katanya, acara lain yang turut diadakan pada program itu ialah majlis khatam Al-Quran dan tazkirah Ramadan.

Terdahulu, menurut jurucakap Yayasan Farley, pihaknya setiap tahun mengadakan kerjasama dengan PERKIM Cawangan Sibu untuk mengagihkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, sebanyak 120 bungkusan makanan akan diagihkan kepada penerima, di mana setiap bungkusan mengandungi pelbagai barangan keperluan Hari Raya bernilai RM110.

“Pada hari ini kita menyampaikan 70 bungkusan kepada anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan, selebihnya akan kita agihkan pada Isnin dan hari Selasa kelak,” katanya lagi.

Sumbangan disampaikan oleh Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad di kediamannya bersama Presiden Yayasan Farley Eijing Lau. – EDISI UKAS

add comment