ISNIN, 17 APRIL 2023
LIMBANG: Rakyat Sarawak diingatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri dalam menyambut perayaan Aidilfitri yang menjelang tiba.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, setiap masyarakat harus berwaspada dalam membuat persiapan perayaan agar tidak mengundang sebarang musibah.
“Sambil kita berseronok dan bergembira merayakan Hari Raya, dalam masa sama kita harus menjaga diri dari segi kesihatan.
“Kadang-kala, disebabkan kemeriahan itu, kita membuat banyak persiapan seperti memasang lampu tanpa menyedari ia akan mengakibatkan lebihan beban (overload), dan ini boleh mendatangkan bahaya.
“Jadi kita harus sentiasa berwaspada, rayakan sambutan dengan penuh kegembiraan dan juga dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL) di Masjid Jannatul Firdaus Baha Limbang pada Ahad.
Pada majlis tersebut, Datuk Amar Awang Tengah telah menyempurnakan pemberian sumbangan sempena Hari Raya daripada LAKIL kepada 40 imam dan bilal masjid, 156 imam dan bilal surau, 168 ibu tunggal, 64 anak yatim dan 31 orang kurang upaya (OKU).
Turut menerima sumbangan ialah ahli-ahli lembaga, pekerja dan juga pembantu LAKIL.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu memberitahu, kestabilan dan kekuatan kerajaan Sarawak membolehkannya membantu setiap lapisan masyarakat tempatan yang memerlukan tanpa mengira agama, bangsa mahupun latar belakang.
Beliau menambah, kerajaan Sarawak juga terus berusaha untuk menjamin kelangsungan pembangunan negeri ini melalui pelbagai cara.
“Sebab itu semasa kita berhadapan dengan masalah COVID-19, kita memikirkan langkah bagi membangunkan negeri ini.
“Jadi, kita mempunyai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan hala tuju untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi yang akan meningkatkan pembangunan ekonomi, mewujudkan keterangkuman sosial dan mengambil kira kepentingan alam sekitar kita,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Pengiran Dato Jawa dan Penolong Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi. -EDISI UKAS