RABU, 19 APRIL 2023
SIBU: Yayasan Perumahan Rakyat (YPR) ditubuhkan bagi membantu dalam menanggani isu perumahan kepada masyarakat kurang berkemampuan di Sibu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembanguanan Bakat l, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata pihaknya dalam proses memohon kepada kerajaan mendapatkan kelulusan bagi penubuhan YPR dalam masa terdekat ini.
“Ini adalah satu badan sukarela ditubuhkan oleh rakan-rakan saya bagi membantu mereka yang tidak mampu membina rumah terutama dalam kalangan keluarga miskin dan ibu tunggal,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Bina Baharu di bawah Program Jiwa Murni Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka di Lorong Jeriah Barat 4, Kampung Seduan Jaya pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan swasta menjadi rakan seperjuangan dalam penubuhan yayasan itu sebagai agensi pelaksana.
“Kita berusaha sedaya upaya membina sebanyak mungkin rumah di kawasan DUN Nangka dan sekitar bandar ini daripada dana yang diperolehi dengan penubuhan yayasan itu,” jelasnya.
Katanya, penubuhan yayasan tersebut bagi mencapai koloboratif dengan pihak terbabit termasuk sektor swasta menghulurkan pelbagai bantuan sama ada berbentuk tunai dan sebagainya membina rumah untuk mereka yang memerlukan.
“Kita akan menandatangani memorundum persefahaman (MoU) bersama pihak terlibat dalam penubuhan YPR dalam masa terdekat ini,” ujarnya ringkas.
“Apabila kita mempunyai dana cukup, kita akan bina satu rumah dan meneruskan pembinaan rumah berkenaan sekiranya kita mempunyai dana mencukupi,” katanya.
Datuk Dr Annuar berkata, kriteria permohonan adalah tegas dan hanya yang betul-betul layak akan diluluskan.
Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah JBPM Sarawak Datu Khirudin Drahman dan Ketua JBPM Zon 4 Sibu Andy Alie. – EDISI UKAS