KHAMIS, 20 APRIL 2023
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mengadakan pemeriksaan secara mengejut di setiap terminal bas di Sarawak.
Pengarahnya, Norizan Jili berkata, tujuan pemeriksaan secara mengejut ini adalah untuk memastikan keselamatan penumpang terutamanya ketika musim perayaan.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita di Terminal Bas Kuching Sentral di sini pada khamis.
Dalam pada itu beliau berkata, pemeriksaan ini melibatkan semua bas dalam kesiapsiagaan yang merangkumi skop yang ditetapkan.
Antara pemeriksaan fizikal yang dijalankan adalah ketetapan piawaian tayar, sistem brek kenderaan, keadaan lampu dan cermin, pembalik cahaya berfungsi, sistem GPS aktif serta semakan saman tertunggak bag pemilik dan pemandu bas.
Selain itu, Norizan menyatakan bahawa JPJ turut bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dalam membantu melaksanakan sesi saringan ujian air kencing.
Menurutnya, ia bertujuan untuk memastikan semua pemandu bas sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan bebas daripada menggunakan bahan terlarang semasa menjalankan tugas. -EDISI UKAS