KHAMIS, 20 APRIL 2023
KUCHING: The Sarawak Initiatives (TSI) komited melaksanakan usaha bagi memastikan pendidikan yang berkualiti untuk anak Sarawak.
Pengerusi TSI, Sidi Munan berkata, ke arah itu, pihaknya bercadang untuk mengadakan bengkel pendidikan berkaitan Sarawak yang mungkin akan diadakan tahun ini.
Jelasnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga turut menyokong cadangan bengkel berkenaan dilaksanakan semasa perbincangan diadakan.
“Perkara utama perbincangan kami adalah cadangan mengadakan bengkel pendidikan berkaitan Sarawak.
“Kami telah bertukar banyak idea dengan Premier Sarawak dan sangat berterima kasih kepada beliau atas idea dan nasihat.
“Pihak kami gembira kerana beliau menyokong idea bengkel ini yang mungkin diadakan pada tahun ini sebaik sahaja kami bersiap sedia melaksanakannya.
“Ini akan menjadi forum yang penting dan memberikan petanda baik untuk masa depan anak muda dari segi pendidikan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.
Turut hadir, Penasihat TSI, Datuk John Tenewi Nuek, Naib Pengerusi TSI, Dr, Hamsawi Sani, Setiausaha TSI, Ir. Goh Leng Yeu dan pegawai TSI yang lain. -EDISI UKAS