SABTU, 22 APRIL 2023
KUCHING: Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Openg menjadi tumpuan apabila ribuan pengunjung datang membanjiri Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Tinjauan yang dilakukan mendapati para pengunjung mula beratur seawal jam 9 pagi bagi memeriahkan rumah terbuka yang bermula pada jam 10.30 pagi itu.
Malah, sambutan rumah terbuka pada tahun ini didapati sangat luar biasa dengan ribuan pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum dan agama hadir ke majlis tersebut.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari bersama isteri, Datin Patinggi Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut hadir di BCCK pada jam 10:45 pagi.
Ketibaan mereka berdua disambut pimpinan tertinggi negeri iaitu ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak,Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian.
Turut kelihatan, barisan Menteri-menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak serta ketua-ketua jabatan kerajaan Sarawak.
Sebaik majlis bermula, orang ramai tidak melepaskan peluang beramah mesra dan bergambar dengan Premier Sarawak serta isteri.
Lebih menarik, para pengunjung yang hadir bukan sahaja menggunakan baju Melayu malah ada yang menggunakan baju tradisional masing-masing.
Sementara itu, tinjauan juga mendapati pelbagai hidangan antaranya lemang, rendang, nasi impit, ketupat palas, laksa serta minuman dihidangkan buat pengunjung. -EDISI UKAS