Tuai Rumah Perlu Lebih Tegas Dalam Mentadbir Penghuni Rumah Panjang

RABU, 26 APRIL 2023

MARUDI: Para tuai rumah di negeri ini perlu lebih tegas dalam mentadbir warga penghuni sesebuah rumah panjang.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, ia penting bagi menjamin kemajuan dan keharmonian rumah panjang berkenaan.

Menurutnya, tuai rumah juga harus sentiasa mendekati rakyat dan anak-anak buah supaya dapat mewujudkan sikap toleransi sesama diri.

“Hormat adat dan tradisi kaum kita yang hidup bersama dalam rumah panjang sebagai satu keluarga besar dan ini menunjukan kesatuan kita dan cara hidup di mana kita saling menghormati dan tolong menolong antara satu sama lain,” katanya pada Majlis Perasmian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Rumah Matan di sini pada Selasa.

Sementara itu beliau berkata, pihak SIDS turut berperanan membantu JKKK dalam pengurusan rumah panjang dan sebagai organisasi yang melatih serta menyedia kaum wanita sebagai golongan pemimpin masa depan.

Dalam pada itu jelasnya, pihak JKKK pula harus mendekati agensi-agensi kerajaan khususnya Pejabat Daerah supaya sebarang masalah yang dihadapi akan dapat diselesaikan melalui saluran yang betul.

Pada program sama, beliau turut memperuntukkan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sejumlah RM75,000 kepada 25 pintu di Rumah Matan di mana setiap pintu akan menerima RM3,000 bagi membantu untuk membeli alat-alat kelengkapan yang diperlukan.

Manakala RM6,000 dan RM4,000 masing-masing diperuntuk kepada JKKK dan SIDS Rumah Matan.

Difahamkan, majlis ini merupakan pertama kali diadakan di Rumah Matan yang merupakan sebuah rumah panjang baharu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Marudi Belayong Pok, Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Bundan, Pengerusi SIDS Cawangan Marudi Kaunselor Yanti Nyanggau, Tuai Rumah Matan Sampai, Ketua-Ketua Masyarakat dan penduduk di kawasan Puyut Lubok Nibong. -EDISI UKAS

add comment