JPBB Miri Siap Siaga Hadapi Musim Kemarau

SELASA, 2 MEI 2023

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah melakukan persediaan lengkap untuk menghadapi musim kemarau.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yakin dengan persiapan-persiapan yang telah dibuat oleh JPBB Miri yang diketuai oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan Residen Bahagian Miri Jamalie Busri.

“Saya amat yakin dengan persiapan yang kita ada termasuklah penggunaan peralatan berteknologi terkini iaitu ‘drone’ yang tidak hanya melakukan pemantauan, malah dapat bersuara memberikan amaran kepada sesiapa yang didapati bersalah membuat pembakaran terbuka di ‘hotspot’ di Miri,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri bagi Persediaan Musim Kemarau dan Pemantauan Hotspot pada Selasa. 

Selain itu katanya, JPBB Miri juga mempunyai tiga pos luar yang menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di beberapa lokasi strategik dan sebuah menara tinjau bagi memantau secara dekat sebarang aktiviti pembakaran terbuka, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pula akan melakukan rondaan secara berjadual.

Tambah Datuk Amar Douglas yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, mesyuarat kali ini turut dihadiri tujuh wakil pemilik-pemilik tanah khususnya dari kawasan yang terdedah dengan kebakaran.

“Pemilik-pemilik tanah telah membentangkan langkah-langkah serta penetapan prosedur operasi standard (SOP) syarikat masing-masing bagi berhadapan dengan sebarang kemungkinan kebakaran ini.

“Di antaranya ialah dengan mewujudkan pasukan Emergency Response Team (ERT), menyediakan jentera seperti lori tangki dan jentera pemadam,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memohon pihak Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk bersedia sekiranya musim kemarau di Miri berpanjangan.

Sementara itu, beliau dimaklumkan terdapat laporan kekurangan bekalan air khususnya di kawasan pedalaman Miri.

Oleh itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri menerusi Pejabat Residen Bahagian Miri serta Pejabat-pejabat Daerah telah menyalurkan bantuan air minuman botol di kesemua kawasan-kawasan yang terlibat. 

Datuk Amar Douglas turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya Dato Sri Lee yang bertungkus-lumus membendung bencana di peringkat Bahagian Miri seperti COVID-19 dan musim kemarau ini. 

Selepas sidang media tersebut, Datuk Amar Douglas bersama Dato Sri Lee meneruskan lawatan ke Menara Tinjau Tudan. – EDISI UKAS

add comment