Program Gotong Royong Di Kampung Tanjung Bundong Disambut Baik

SELASA, 2 MEI 2023

KOTA SAMARAHAN: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 2 telah menganjurkan program gotong-royong perdana pada Isnin.

Program tersebut yang bermula pada jam 9 pagi itu telah mendapat sambutan yang baik dengan seramai 30 penduduk yang membantu membersihkan kawasan surau dan sekitar kampung.

Objektif pelaksanaan aktiviti tersebut adalah memupuk kerjasama serta mengeratkan silaturahim antara penduduk dalam meningkatkan keprihatinan dan komitmen mereka terhadap kebersihan serta menghargai kemudahan yang telah disediakan.

Selepas itu, acara cabutan bertuah dengan hadiah seperti hamper diagihkan kepada para penduduk yang menyertai program gotong-royong itu.

Turut hadir ialah Ketua Kaum Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 2 Kasdi Endong dan Pengerusi Surau Baiturrahman Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 2 Ustaz Sarial Sudin. -EDISI UKAS

add comment