RABU, 3 MEI 2023
PUSA: Masyarakat digesa agar sentiasa berwaspada dengan situasi terkini susulan pandemik COVID-19 yang kembali menular di luar negara luar.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam berkata rakyat di Sarawak khasnya sentiasa berwaspada dan peka dengan perkembangan daripada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ujarnya, selain daripada jangkitan COVID-19 beliau turut menasihati masyarakat untuk berwaspada dengan amaran musim panas berpanjangan dan mengelak berjemur di luar terlalu lama.
Mohammad Razi berucap demikian semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Medang pada Rabu.
Tegasnya, masyarakat khususnya di DUN Saribas perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh KKM dari masa ke semasa.
Dalam ucapannya lagi, beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan penganjur di atas penganjuran majlis ramah tamah tersebut.
Semasa majlis tersebut, Ketua Kampung Medang Shafiee Lugom juga telah memohon untuk menaiktaraf prasarana Dewan Masyarakat kampung tersebut.
Bagi menjawab permohonan tersebut, Ahli Parlimen Betong Dr. Richard Rapu berkata ianya akan dibincangkan bersama ADUN Saribas untuk tindakan susulan.-EDISI UKAS