Hulur Bantuan Kepada Golongan Memerlukan

KHAMIS, 4 MEI 2023

MIRI: Masyarakat harus menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira agama, bangsa mahupun ideologi masing-masing. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin memberitahu, semangat membantu setiap lapisan masyarakat akan menyerlahkan perpaduan kaum di negeri ini sekali gus menjadikan Sarawak satu-satunya simbol keharmonian di Malaysia. 

Jelasnya, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan keagamaan serta golongan dermawan telah menyahut seruan kerajaan dalam membantu golongan tidak berkemampuan terutamanya ketika musim perayaan. 

“Inilah cara hidup kita di Sarawak. Setiap tahun apabila tibanya hari kebesaran seperti Hari Wesak, Aidilfitri, Gawai, Tahun Baharu Cina, Krismas mahupun Deepavali, rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya akan turut serta meraikan bersama. 

“Jadi cara hidup ini sangat istimewa dan ia telah mengukuhkan lagi semangat perpaduan, keharmonian dan muhibah antara rakyat kita,” katanya. 

Beliau berucap demikian dalam Majlis Sambutan Perayaan Hari Wesak anjuran Pertubuhan Dusun Khyenpa Kagyud Dharma (Buddhist) Society Miri di sini pada Khamis. 

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu mengingatkan masyarakat tempatan agar tidak terpengaruh dengan unsur-unsur perkauman dan ekstremisme yang boleh menjejaskan perpaduan serta keharmonian sejagat. 

Pada majlis tersebut, seramai 100 penerima B40 dari kalangan golongan miskin tegar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas telah menerima sumbangan berbentuk bantuan makanan daripada Pertubuhan Dusun Khyenpa Kagyud Dharma (Buddhist) Society Miri sempena sambutan Hari Wesak.  

Turut hadir, ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Pengerusi Pertubuhan Dusun Khyenpa Kagyud Dharma (Buddhist) Society Miri Voon Boo Pin, Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Leslie Lau dan Pengerusi Pengelola Hari Wesak 2023 Pertubuhan Dusun Khyenpa Kagyud Dharma (Buddhist) Society Miri Lim Seo Fei. -EDISI UKAS

add comment