JUMAAT, 5 MEI 2023
KUCHING: Bidang perbidanan perlu diberikan pengiktirafan dan boleh dikomersialkan sebagai kerjaya profesional.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, bidang itu harus lebih berdaya saing dengan memastikan individu yang mengikuti kursus kemahiran diiktiraf supaya khidmat mereka dipercayai.
Jelasnya, namun demikian, hanya separuh daripada jumlah jururawat di Sarawak yang telah mengikuti kursus bidang berkenaan.
“Bidan di Sarawak anda boleh lihat separuh daripada 6,596 jururawat di Sarawak iaitu 3,405 orang telah mengikuti kursus perbidanan.
“Ini bermakna satu daripada dua orang belum mengikuti kursus berkenaan.
“Justeru, pentingnya perbidanan dapat meningkatkan penjagaan kesihatan di Sarawak kerana perbidanan adalah walaupun secara tradisinya orang menganggap perbidanan hanya untuk bayi dan ibu tetapi ia adalah lebih daripada itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Hari Bidan Antarabangsa 2023 di Pusat Konvensyen Raia Kuching pada Jumaat.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian beliau, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan itu turut menzahirkan penghargaan terhadap pengamal kebidanan.
“Perbidanan memainkan peranan yang penting dan kritikal bukan sahaja kepada para ibu dan kelahiran baru malah kesihatan wanita secara umum,” ujarnya.
Dalam pada itu, antara objektif Persidangan Hari Bidan Antarabangsa 2023 adalah untuk menggalakkan hubungan yang erat di kalangan bidan di dalam negara dan antarabangsa. -EDISI UKAS