SABTU, 6 MEI 2023
BINTULU: Pasar Gawai Dayak ‘Bangun’ adalah platform utama kepada masyarakat Dayak untuk terlibat dalam bidang perniagaan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, penubuhan pasar itu dapat memberi peluang kepada masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan.
Jelasnya, pasar itu juga merupakan langkah terbaik dalam mengetengahkan pelbagai jenis masakan tradisional masyarakat Dayak termasuk dari komuniti Iban, Bidayuh serta Orang Ulu.
“Kerana masyarakat ini kaya dengan pelbgai jenis masakan.
“Tujuannya makanan ini dapat dikenali terutama anak-anak muda dibandar,” katanya ketika menghadiri Majlis Perasmian Pasar Gawai Dayak Bangun 2023 di Tamu Emart Bintulu pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk John berkata penjualan kraftangan tempatan dari Sarawak juga harus menonjol.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga memberi bantuan kepada para usahawan selain pihak SEDC turut menyalurkan bantuan sebanyak RM5000 secara one-off.
“Begitu jua pinjaman tanpa interest untuk pinjaman yang kurang dari RM10,000.
“Gunakan peluang ini bagi mengembangkan perniagaan,” ujarnya ringkas.
Sementara itu, beliau meminta kepada semua pengusaha kraftangan di sini untuk mendaftar di Sarawak Craft Council.
Semasa berucap, Datuk John Sikie turut mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Pembangunan Dayak Bintulu.
Beliau yang juga Menteri di Pejabat Premier Sarawak menyeru kepada pihak media untuk memainkan peranan dengan kreatif dan inovatif dalam melaporkan serta menerbitkan program-program berkaitan perayaan Hari Gawai Dayak di media-media massa termasuk di televisyen.
“Ini membolehkan masyarakat di negara ini mahupun negara luar mengetahui pelbagai aktiviti yang diadakan oleh masyarakat Dayak bersempena sambutan Gawai Dayak,” katanya. – EDISI UKAS