Usaha Pembangunan Pusat Kanser Sarawak Disegera

AHAD, 7 MEI 2023

MIRI: Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan kerajaan Pusat dalam menyegerakan pembangunan sebuah pusat kanser di negeri ini. 

Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian memberitahu, langkah seterusnya adalah untuk kedua-dua pihak menandatangani satu perjanjian bagi memulakan pelaksanaan inisiatif itu. 

Menurutnya, ini memandangkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menawarkan dana kepada kerajaan Persekutuan sebagai pinjaman bagi mendirikan pusat kanser tersebut. 

Jelasnya lagi, kos bagi pembinaan pusat itu akan menelan jumlah yang tinggi termasuk untuk keperluan peralatan perubatan. 

“Kosnya bergantung pada sejauh mana yang akan kita buat. Ia antara RM800 juta hingga RM1.2 bilion kerana ini bermakna sama ada kita mahukan 300 katil atau 500 katil. 

“Semua ini perlu diambil kira. Terdapat pihak yang tidak tahu dan mempersoalkan kos tersebut. 

“Semuanya bergantung sama ada kita merancang untuk sekarang atau masa depan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran ‘O-Arm Surgical Imaging System’ di Borneo Medical Centre (BMC) Miri pada Sabtu. 

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa atas sokongannya terhadap pelaksanaan projek pusat kanser berkenaan yang dianggap mampu memberi manfaat kepada seluruh kepulauan Borneo. 

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yiew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu, Ahli Lembaga Pengarah BMC Miri Dr Richard Chen Shyue Woon dan Pengarah Perubatan BMC Miri Dr Kenny Yeap Kim Pey. -EDISI UKAS 

add comment