ISNIN, 8 MEI 2023
MIRI: Dua acara utama bakal memeriahkan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-XVI Peringkat Sarawak Tahun 2023 yang akan diadakan di sini pada 4 dan 5 Jun depan.
Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan itu, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sambutan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran yang akan diadakan di Masjid At-Taqwa, Miri pada 4 Jun.
Menurutnya, antara pengisian bagi majlis berkenaan termasuk Solat Fardu Maghrib Berjemaah diikuti dengan bacaan Yassin, alunan Zikir Marhaban, Doa Kesyukuran, Solat Fardu Isyak dan juga majlis jamuan makan malam.
Ujarnya lagi, sambutan itu kemudiannya dimeriahkan dengan acara kemuncak iaitu Majlis Jamuan Teh di Pullman Miri Waterfront pada 5 Jun dengan jangkaan kehadiran seramai 550 jemputan.
“Majlis Seni Sarawak (MSS) mengetengahkan tiga segmen dalam pengisian program bagi Majlis Jamuan Teh, iaitu segmen rasmi, persembahan hiburan tiga orang artis tempatan iaitu Ricky Anderson daripada etnik Iban, Dayana Shini daripada etnik Melayu, Fredo Lam Julez daripada etnik Bidayuh selain seorang penyanyi daripada etnik Cina.
“Seterusnya, akan diadakan persembahan khas ‘Budaya Identiti Kita’ yang menonjolkan tari dan irama yang berbeza di antara satu sama lain untuk mengetengahkan kepelbagaian bangsa di Sarawak.
“Persembahan penutup ‘Digarhayu Tuanku’ pula secara simboliknya mengetengahkan keberadaan dalam Malaysia yang mana berada di bawah pemerintahan dan naungan Yang Di-Pertuan Agong di mana tarian penutup ini akan melibatkan 14 orang penari lelaki,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi sambutan tersebut di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Isnin.
Dato Sri Lee menjelaskan, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib merupakan tetamu kehormat yang akan menyerikan perayaan berkenaan.
Menurutnya lagi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut dijangka hadir.
Dalam pada itu, beliau berharap sambutan kali ini akan memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kepelbagaian etnik di Sarawak yang merupakan kunci utama dalam memastikan keamanan negeri ini sentiasa terjamin.
Sementara itu, Dato Sri Lee berkata, beliau akan dibantu oleh Timbalan-Timbalan Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan tersebut iaitu Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Difahamkan, Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-XVI Peringkat Sarawak Tahun 2023 akan disiarkan secara langsung di laman Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Youtube, UKAS Channel.
Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Datuk Dr Penguang, Datuk Gerawat, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS), Datu Mohamad Junaidi Mohidin dan ketua-ketua jabatan. -EDISI UKAS