Program YES Bekenu 2023 Galakkan Belia Ceburi Bidang Keusahawan

ISNIN, 8 MEI 2023

BEKENU: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) telah menganjurkan Program Youth Entrepreneur Setup (YES) Bekenu 2023 dalam menggalakan penglibatan belia dalam bidang keusahawan.

Ia telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus di Dewan Masyarakat Bekenu pada Sabtu lepas.

Seramai 300 belia telah berdaftar untuk menyertai program kali ini yang bermula dengan sesi pembentangan daripada Sarawak Youth Creative Industry Fund (SYCIF) dan sesi Motivasi Pembangunan Usahawan daripada pihak UWAIS Training & Consultancy.

Terdapat juga sesi pendaftaran nama peniagaan dan syarikat, bantuan kewangan kepada belia dan juga sesi ‘Town Hall’ bersama tetamu kehormat bagi membuka ruang kepada para belia untuk bertanyakan soalan tentang keusahawanan.

Dalam ucapannya, Datuk Rosey berharap program seperti ini dapat menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan sekali gus membantu membasmikan kadar pengangguran sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang mensasarkan Sarawak sebagai wilayah yang moden, membangun dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr. Ripin Lamat, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Morshidi Fredrick, wakil Pegawai Daerah Subis Minggu Jampong dan Ketua Masyarakat Dr Ali Mudin. – EDISI UKAS

add comment