Projek Pembinaan Jambatan Batang Paloh Siap Penghujung Disember 2024

SELASA, 9 MEI 2023

DARO: Jadual baharu penyiapan projek pembinaan Jambatan Batang Paloh dianjak ke penghujung Disember 2024 atau pada suku pertama 2025.

Ia dijelaskan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berikutan beberapa isu yang tidak dapat dielakkan menyebabkan kelewatan projek itu kira-kira 100 hari.

Katanya, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah dimaklumkan mengenai isu tersebut dan mahu tindakan segera diambil bagi mengatasinya.

“Antara isu yang harus ditangani ialah pergerakan kapal melalui Muara Batang Paloh ini yang telah menyebabkan berlaku beberapa kemalangan menyebabkan kerosakan di tapak pembinaan.

“Dan juga kekurangan warga kerja yang perlu ditangani untuk menambahkan pekerja asing di kawasan ini,” katanya kepada media selepas melawat tapak projek Jambatan Batang Paloh bersama Datuk Amar Douglas pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Ir. Aidel Lariwoo dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad.

Sehubungan itu, Datuk Abdullah berharap masyarakat di Pulau Bruit terus memberikan sokongan dan bersabar kerana projek ini akan memudahkan perjalanan mereka selepas ini sebaik ia siap kelak.

Beliau yang juga ADUN Semop juga memohon agar jalan masuk ke feri dibaikpulih dan penambahan feri pada waktu-waktu tertentu kerana kebelakangan ini banyak kenderaan melalui perjalanan dari Daro, Pulau Bruit dan terus ke Tanjong Manis.

Sementara itu, Safiee ketika ditemubual pemberita amat berpuas hati kerana pembinaan Jambatan Batang Lassa dilaksanakan mengikut jadual dan dijangka siap pada penghujung 2024.

Katanya, masalah dihadapi penduduk di Daro terutama dari segi perhubungan yang bergantung dengan perkhidmatan feri akan berakhir apabila jambatan itu siap sepenuhnya kelak.

“Jadi dengan siapnya jambatan ini kelak, Daro tidak lagi terpencil malah dalam lingkungan pembangunan yang pesat di seluruh Sarawak.

“Masyarakat di DUN Daro amat berteima kasih kepada YAB Premier Sarawak dan barisan kabinet di bawah kepimpinan beliau kerana telah meluluskan peruntukan cukup besar.

“Harapan kita agar masyarakat di sini terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada kerajaan negeri kerana banyak lagi usaha kita untuk membina, menyediakan infrastruktur di kawasan kita kerana Negeri Sarawak sangat luas,” katanya. – EDISI UKAS

add comment