RABU, 10 MEI 2023
KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) mula mengambil langkah untuk memacu kemampanan industri perkayuan di negeri ini dengan memanfaatkan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
Ini dilakukan untuk menghadapi cabaran seperti kekurangan bahan mentah dan permintaan yang semakin meningkat.
Ke arah itu, PUSAKA telah menjalin kerjasama dengan beberapa agensi penyelidikan dan universiti untuk membangunkan produk bernilai tambah tinggi bagi manfaat bersama.
Dalam satu kenyataan medianya pada Rabu memberitahu, beberapa penyelidikan telah dilakukan termasuk menilai potensi pengeluaran arang dan karbon aktif daripada spesies buluh yang berbeza, pengeluaran pelet sagu dan Acacia mangium, pengeluaran pelet biojisim buluh termasuk kajian potensi pengeluaran pelet biojisim daripada batang kelapa sawit dan Acacia mangium.
Di samping itu, penyelidikan mengenai sintesis dan penilaian Nanobiosid mesra alam juga dijalankan sebagai pengawet untuk perlindungan buluh, kecekapan karbon teraktif yang diperoleh daripada arang buluh tempatan untuk penyingkiran bahan cemar dalam air, potensi untuk menghasilkan bio-pellet daripada Eucalyptus pellita dan Gmelina arborea.
Menurut kenyataan sama, lebih banyak siasatan dijalankan, industri perkayuan di Sarawak boleh memperoleh peningkatan produktiviti dan daya saing yang lebih besar, sambil membuka peluang baharu untuk pembangunan ekonomi di negara ini.
Untuk makluman, R&D adalah penting dalam menghasilkan pendekatan baharu dan inovatif kepada penuaian, pemprosesan dan pembuatan kayu.-Edisi UKAS