RABU, 10 MEI 2023
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mencalonkan naskah ‘Hikayat Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan Waktu Perang hingga Mendapat Kesenangan’ ke dalam ‘Memory Of The World’.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sebuah naskah karya agung novel Melayu pada tahun 1876 merupakan naskah terbitan pertama Melayu di dunia dari Sarawak dan ia akan dicalonkan di dalam daftar
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menurutnya, naskah tersebut juga telah ditemui di sebuah perpustakaan ‘Rhodes House Of Library di London.
“Ia membuktikan peranan tokoh Melayu seperti Datuk Patinggi Ali dan ramai lagi pada masa dahulu.
“Daripada sisi sejarah jelas bahawa kita mempunyai nilai ketemadunan yang diwarisi sejak ribuan tahun yang lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sama Rindok Aidiliftri Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak ( AKYBMS) di sini pada Rabu.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah menyeru masyarakat Melayu di Sarawak untuk mengekalkan perpaduan dalam hidup bermasyarakat ke arah memakmurkan generasi akan datang selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.
“Dalam dunia yang mencabar ini kita seharusnya memiliki sifat rajin berusaha dan berintegriti serta menanamkan sifat keusahawanan dalam menempuh dunia digital untuk mencapai pasaran yang lebih luas,” katanya. -EDISI UKAS