KHAMIS, 11 MEI 2023
DARO: Peserta Program Jangkauan Komuniti Pertanian atau Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) di Daro diseru agar memanfaatkan sebaiknya bantuan yang diberikan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad setiap peralatan peralatan yang mereka terima harus digunakan sebaik mungkin untuk mereka meningkatkan ekonomi keluarga.
Ujarnya, lebih banyak peluang ekonomi akan tersedia kepada penduduk setempat dengan siapnya Jambatan Muara Lassa kelak.
Katanya, orang luar akan mencari hasil tani atau nelayan di kawasan itu kelak dan ia satu kerugian kepada penduduk setempat jika mereka tidak memanfaatkan setiap peluang yang ada.
Beliau berkata semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) Daerah Daro bagi 2023.
Seramai 80 orang peserta dari Daerah Daro mengambil bahagian dalam kursus anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Mukah dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Matu/Daro di Dewan Kemas Daro pada Rabu.
Terdahulu semasa berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2023 SK Sabena, Bintangor pada sebelah pagi, Safiee mengumumkan kelulusan projek bernilai RM200,000 untuk menaiktaraf jalan ke jeti utama dan masjid di Kampung Sabena yang akan dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023.
Pada majlis sama, Safiee turut menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sabena dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Ar-Rahman Kampung Sabena dan mengumumkan kelulusan sumbangan kepada JKKK Kampung Sabena yang secara keseluruhannya berjumlah RM22,000.
Beliau turut mengumumkan sumbangan 100 unit kerusi kepada SK Kampung Sabena dan sumbangan dana kepada PIBG SK Penasu RM8,000 & PIBG SK Nanga Semah RM5,000. – EDISI UKAS