KHAMIS, 11 Mei 2023
KUCHING: Sistem pengurusan pepejal yang lebih sistematik akan meningkatkan kualiti kebersihan di bandar raya Kuching.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian berkata, isu pengurusan pepejal yang kurang efektif dan efisien merupakan antara kekangan dan cabaran yang dihadapi di sesebuah bandaraya yang membangun termasuk bandar raya Kuching.
“Justeru, strategi yang dapat memberikan panduan khusus kepada semua pihak mengenai pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan dan lestari harus diperkenalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Haji Abdul Rahman Junaidi yang mewakili beliau dalam Majlis Perasmian Bengkel Penambahbaikan Pengurusan Sisa Pepejal di sini pada Khamis.
Dato Sri Dr Sim lagi, bengkel penambahbaikan ini bertujuan untuk memperkenalkan strategi dan pendekatan baharu mengenai sisa pepejal sekaligus dapat meningkatkan tahap kesedaran warga kota melalui informasi yang penting.
“Bengkel ini juga akan menjadi pendekatan terbaik kepada ekonomi sirkular sebagai asas kepada penambahbaikan pengurusan sisa pepejal perbandaran,” ujarnya.
Dalam majlis sama, Menteri Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan itu menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dalam memastikan kualiti pengurusan sisa pepejal di Bandaraya Kuching sentiasa terjamin.
Hadir sama Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, Walikota Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Tan Kai, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trinekens Sarawak, Stephen Chin serta Pengarah DBKU, Mohamed Khaidir Abang. -EDISI UKAS