SABTU, 13 MEI 2023
KUCHING: Penghulu, Ketua Kaum dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta untuk menghantar permohonan peruntukan kewangan mengikut prosedur yang betul.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Dato’ Sri Nancy Syukri menjelaskan, ini kerana permohonan peruntukan hanya dapat dilakukan sebanyak dua kali setahun.
Menurutnya, mereka perlu menyenaraikan projek dan aktiviti yang dirancang beserta jumlah dana yang diperlukan sebelum dipertimbangkan.
“Justeru, saya memohon agar penduduk tidak terlalu mengharapkan bantuan yang segera, tetapi mereka boleh memohon dan menunggu dengan sabar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Ramah Tamah Meriahnya Raya Kejiranan Mesra (KJM) N4 Pantai Damai di Dewan Serbaguna Bandar Baru Samariang, di sini pada Sabtu.
Dalam masa sama, Dato’ Sri Nancy juga menepis tuduhan sesetengah pihak yang menganggap beliau sukar untuk membantu penduduk terutama dalam menyediakan peruntukan segera, sebaliknya beliau berusaha untuk membantu dengan sebaik-baiknya dengan jumlah peruntukan yang ada.
“Apabila pertukaran kerajaan, banyak perkara yang berubah dan ada juga yang cakap Ahli Parlimen sekarang tidak mahu tolong orang.
“Bukan begitu, sebenarnya sebelum ini saya hanya menerima sejumlah RM500,000 untuk tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen ini iaitu Pantai Damai, Demak Laut serta Tanjong Datu dan saya memberi keutamaan kepada surau, masjid dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlebih dahulu dengan jumlah yang sedikit.
“Syukur, baru-baru ini saya menerima peruntukan baharu, jadi Ketua Kaum, Penghulu, JKKK semua hendaklah senaraikan dan hantar pemohonan mengikut cara yang betul.
“Jangan menganggap saya selaku Ahli Parlimen yang baharu di kawasan ini sukar untuk bertolak ansur..takut kemudian menjadi fitnah.Anda boleh bertanya kepada penduduk di Batang Sadong bagaimana saya menjaga mereka sebelum ini.
“Jadi saya hendak tekankan lagi, kerana peruntukan baru sahaja diberikan kepada saya, insyaAllah kita akan dapat membantu dan menyokong bebanan anda,” jelas beliau.
Pada majlis itu, Dato’ Sri Nancy diiringi Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU) telah menyampaikan sumbangan barangan asas kepada 20 orang penerima dari golongan asnaf.
Turut disampaikan hadiah bagi Pertandingan Bertuntung kepada kesemua Pengerusi KJM dan 3 KJM yang terbaik.
Di samping itu, pelbagai acara lain turut dipersembahkan seperti Sketsa dan persembahan nyanyian dari Pengerusi KJM Gabungan N4 Pantai Damai dan persembahan tarian.-Edisi UKAS