Perkasa Bidang Kuasa Majlis Kraf Sarawak, Tingkatkan Daya Saing Industri Kraf

SELASA, 16 MEI 2023

KUCHING: Pemerkasaan bidang kuasa Majlis Kraf Sarawak (SCC) menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Kraf Sarawak, 2023 akan menyediakan rangka kerja komprehensif untuk pengawalseliaan dan pembangunan kraf di negeri ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, RUU ini akan membolehkan SCC mengekalkan kualiti kraf secara aktif dengan menawarkan penyelidikan, nasihat dan bimbingan kepada golongan tukang tempatan yang berbakat.

 “Ia juga akan memudahkan penggunaan kaedah pengeluaran moden, amalan pengurusan, strategi pemasaran dan teknologi digital sekali gus meningkatkan daya saing industri kraf di pasaran tempatan dan luar negara.

“Tambahan juga, RUU ini menekankan kepentingan pemasaran dan eksport kraf, memastikan golongan tukang mempunyai peluang yang lebih besar untuk mempamerkan kemahiran masing-masing dan memperluaskan pasaran sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan RUU Majlis Kraf Sarawak, 2023 dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Dalam pada itu, Johnny berkata, kelulusan RUU ini akan menyediakan peluang untuk Sarawak terus mendapat manfaat daripada potensi industri kraf tempatan.

“Dengan menyokong RUU ini, kita bukan sahaja mengekalkan warisan budaya kita yang unik tetapi juga mewujudkan peluang ekonomi untuk warga tempatan dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak secara mampan,” katanya lagi. -EDISI UKAS

add comment