KHAMIS, 18 MEI 2023
KUCHING: Masih terdapat banyak sekolah di konstituensi Tellian yang memerlukan bantuan baik pulih mahupun bina baharu khususnya dari segi kemudahan fizikal seperti padang sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine memberitahu, sebanyak 15 sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) tidak mempunyai kemudahan padang ekoran daripada pembangunan fizikal sekolah yang terpaksa mengorbankan kemudahan fasiliti tersebut.
Menurutnya, ketiadaan kemudahan padang menyulitkan pihak sekolah untuk mengadakan aktiviti kokurikulum di mana mereka terpaksa menyewa fasiliti daripada agensi lain.
“Ini menyebabkan kos pengurusan bertambah. Tambahan pula bajet perkepala tahunan untuk aktiviti pelajar di sekolah yang diberi oleh pihak Kementerian Pendidikan (KPM) masih di kadar yang sangat rendah dan tidak bertepatan dengan keperluan sekolah-sekolah di Sarawak ini khasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, Royston berkata, terdapat juga kekosongan jawatan pengurusan tertinggi di peringkat sekolah yang perlu diisi dengan segera bagi konstituensinya.
Beliau mengulas lanjut, daerah Mukah mempunyai dua kekosongan pengetua dan lima kekosongan guru besar manakala daerah Dalat pula mempunyai kekosongan sebanyak satu pengetua dan lima guru besar.
“Masalah-masalah ini memberikan impak buruk kepada murid dan pelajar terutamanya dari segi rekod kehadiran ke sekolah di mana Sarawak mencatat peratusan kehadiran yang menurun terutamanya selepas pandemik COVID-19,” tegasnya. -EDISI UKAS