KPM Diseru Beri Keutamaan Kepada Bahasa Iban

KHAMIS, 18 MEI 2023

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diseru memberi keutamaan kepada Bahasa Iban di sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir Christopher Gira memberitahu, sekolah-sekolah di Sarawak mengalami kekurangan guru yang mengajar Bahasa Iban berbanding subjek lain.

Menurut beliau, berdasarkan hasil kajian yang telah dibentangkan pada tahun 2023, seramai 2,100 orang guru Bahasa Iban diperlukan di sekolah rendah seluruh Sarawak dan 26 guru Bahasa Iban di sekolah menengah.

“Isu ini harus diatasi sebelum ia menjadi lebih kritikal apabila guru-guru yang berkhidmat sekarang bersara dalam tempoh terdekat,” jelasnya semasa membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.

Justeru, beliau mengemukakan tiga cadangan untuk menangani isu kekurangan guru Bahasa Iban dengan secepat mungkin.

“Yang pertama, KPM dapat menambah jumlah pengambilan guru pelatih Bahasa Iban di Sarawak dan diberi latihan sewajarnya di institut-institut pendidikan guru sedia ada sejajar dengan tarafnya yang sudah diiktiraf.

“Yang kedua, KPM perlu memberi keutamaan kepada para graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan graduan yang mempunyai ijazah perguruan dari institusi yang diiktiraf untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Ketiga ialah KPM juga harus menambah bilangan guru pelatih Bahasa Iban dalam setiap pengambilan ke IPG sekurang-kurangnya 100 orang pelatih setiap tahun sehingga isu kekurangan guru Bahasa Iban ini selesai,” jelasnya.

Katanya lagi, Bahasa Iban bukan sahaja sebagai sebuah bahasa ‘mother tongue’ tetapi sebagai sebuah budaya dan bahasa ini harus terus dipelihara. -EDISI UKAS

add comment