JKKSK Diaktifkan Semula, Bantu Kanak-Kanak Tanpa Sijil Kerakyatan

JUMAAT, 19 MEI 2023

KUCHING: Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) telah diaktifkan semula untuk membantu menyelesaikan masalah kanak-kanak yang tiada sijil kerakyatan di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pengaktifan semula JKKSK telah dipersetujui oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Sukacita saya maklumkan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) telah diaktifkan semula atas persetujuan Menteri Dalam Negeri pada 17 Januari tahun ini dibawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Peringkat Sarawak”, katanya ketika menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.

Beliau menambah, sebanyak 146 daripada 946 permohonan yang tertunggak telah dibentang dan diberi keputusan dalam Mesyuarat JKKSK Bilangan 1/2023 yang berlangsung pada 9 Mac lepas manakala baki permohonan akan dibentangkan dalam Mesyuarat JKKSK Bilangan 2/2023 yang dijangka pada Jun depan.

Mengulas isu sama, beliau berkata resit rasmi bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan boleh digunakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sebagai pengesahan pengenalan diri kanak-kanak untuk tujuan persekolahan dan mendapat perkhidmatan kesihatan di Sarawak.

Sementara itu katanya, kerajaan Sarawak turut berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan mengeluarkan Dokumen Sementara Individu Tanpa Warganegara di Sarawak (DSITKS) untuk digunakan sebagai identiti khusus bagi mendapat akses kepada perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan.

Jelasnya, tempoh sah laku DSITKS adalah selama dua tahun dari tarikh kelulusan permohonan dan perlu dikembalikan kepada kementeriannya sebaik sahaja pemegang memperolehi kewarganegaraan dan kad pengenalan.

Beliau turut menegaskan bahawa dokumen tersebut tidak memberi hak atau janji untuk pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada pemegangnya. -EDISI UKAS

add comment