Johnny Pang Terima Kunjungan Hormat Daripada Pergerakan Pemuda Gabungan Persatuan Cina & Ketua Kaum Melayu

SABTU, 20 MEI 2023

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming menerima kunjungan hormat daripada rombongan Pergerakan Pemuda Gabungan Persatuan Cina Berdaftar Bahagian Bintulu serta empat orang Ketua Kaum Melayu.

Sesi kunjungan hormat tersebut diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak sempena Persidangan Pertama Bagi Penggal Kedua DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.

Menurut Johnny, beliau amat berbesar hati menerima kunjungan tersebut sambil berkata ini memperlihatkan tanda sokongan dan keyakinan pengundi Tanjong Batu terhadap beliau sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Beliau berkata kehadiran rombongan ini menunjukkan kawasan DUN Tanjong Batu juga mempunyai masyarakat majmuk harmoni yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Justeru, beliau berharap nilai murni tersebut dapat berterusan pada masa hadapan.

Johnny turut menggalakkan dan mendorong golongan belia untuk melawat ke bangunan DUN Sarawak terutamanya semasa persidangan diadakan agar rakyat lebih memahami keadaan di situ.

Beliau yakin lawatan sedemikian dapat membantu rakyat lebih mendalami fungsi DUN dan juga peranan ADUN sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, rombongan berkenaan turut berpeluang berpeluang berjumpa dan bertukar pendapat dengan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkenaan isu semasa serta potensi perkembangan pelancongan di Bintulu. – EDISI UKAS

add comment