MTCP Sasar Lebih 3 Juta Pelancong Pada 2023

SELASA, 23 MEI 2023

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) optimis dalam menyasarkan kemasukan lebih 3 juta pelancong ke Sarawak pada tahun 2023 dengan jangkaan janaan resit pelancongan sejumlah RM7.25 bilion.

Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, aktiviti pelancongan antarabangsa dijangka meneruskan pemulihan pada tahun ini manakala pelancongan domestik akan terus menyokong prestasi sektor tersebut secara keseluruhannya.

Menurutnya, ia didorong oleh pelancongan ke destinasi berdekatan kediaman di mana pengunjung mencari aktiviti terbuka, produk berasaskan alam semula jadi serta pelancongan luar bandar.

“Pada tahun 2022, Sarawak telah menerima 2.03 juta pengunjung iaitu peningkatan sebanyak 761.84 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2021 sekali gus memberikan anggaran kutipan resit pelancongan sebanyak RM4.96 bilion.

“Setakat April 2023, Sarawak telah mencatatkan kedatangan pengunjung sebanyak 1.3 juta orang iaitu peningkatan sebanyak 315.41 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2022 serta menjana RM3.27 bilion resit pelancongan.

“Kementerian saya optimis dalam mencapai kedatangan lebih 3 juta pengunjung pada tahun 2023 dan menjangka janaan RM7.25 bilion untuk kutipan resit pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim berkata, Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) memaklumkan bahawa keadaan ekonomi semasa kekal sebagai faktor utama yang mempengaruhi pemulihan pelancongan antarabangsa pada tahun ini di mana inflasi tinggi dan kenaikan harga minyak menyebabkan peningkatan kos pengangkutan dan penginapan.

Sehubungan itu jelasnya, para pengunjung dijangka semakin menekankan aktiviti yang berbaloi selain melancong ke destinasi berdekatan kediaman. -EDISI UKAS

add comment