23 MEI 2023
KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata penubuhan Persatuan Ketua Kaum Dayak bertujuan untuk merapatkan hubungan antara Ketua Kaum di bawah kawasan Penghulu Lembat serta memudahkan dan melicinkan pentadbiran di peringkat kampung.
Menurutnya, persatuan ini merupakan yang pertama secara rasmi ditubuhkan di kawasan Penghulu Komuniti Iban di DUN Ngemah semasa merasmikan Majlis Pelancaran Persatuan Ketua Kaum Dayak di Dewan Datuk Aaron, Bawan, Kanowit pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau turut meluluskan geran berjumlah RM10,000 kepada persatuan itu bagi kegunaan mereka melaksanakan aktiviti.
Dalam pada itu, Anyi turut mendedahkan telah bertanya beberapa soalan mengenai isu pembangunan infrastruktur dan pendidikan di DUN Ngemah semasa menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bermula dari 15 hingga 24 Mei 2023.
Beliau turut membangkitkan isu-isu penyegeraan pembinaan Jalan Ngungun / Jagau, pembekalan air bersih bagi kawasan DUN Ngemah, pembinaan feri ram di Pengkalan Sedaya dan perancangan pembangunan Pekan Baru Nanga Ngemah semasa menyertai perbahasan ucapan pembukaan rasmi Persidangan DUN Sarawak. -EDISI UKAS