RABU, 24 MEI 2023
KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM9.6 bilion untuk melaksanakan 87 projek di bawah sektor pembuatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek-projek yang telah diluluskan itu akan mewujudkan sebanyak 6,700 peluang pekerjaan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak itu memberitahu, antara projek utama yang diluluskan termasuk produk elektrik dan elektronik, produk logam asas, produk plastik, perkhidmatan dan bahan kimia.
“Justeru, Kerajaan Sarawak akan meneruskan dasar mesra perniagaannya untuk menarik lebih banyak pelaburan supaya dapat mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Rabu.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, sektor pembuatan merupakan antara enam sektor ekonomi yang dikenal pasti untuk memacu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2030.
“Sektor ini telah menyumbang RM37.2 bilion atau 28.4 peratus kepada ekonomi Sarawak dan melibatkan seramai 167,000 orang pekerja pada tahun 2021,” tambahnya. -EDISI UKAS