KHAMIS, 25 MEI 2023
MIRI: Seramai 45 pelajar dan 12 pensyarah Sekolah Pra-U dan Pendidikan Berterusan (SPACE) Universiti Curtin Malaysia telah menyertai Program Gotong Royong Membersihkan Pantai Lutong di sini pada Rabu.
Ia diadakan dengan tujuan meningkatkan kesedaran warga setempat untuk bersama menjalankan tanggungjawab menjaga kebersihan pantai.
Menurut penganjur acara Siti Kasmah Mohamad Kassim, program ini menggalakkan kesedaran alam sekitar dan penglibatan masyarakat dalam kalangan penduduk Miri serta memastikan Pantai Lutong sentiasa bersih dan bebas daripada bahan sisa.
“Program ini telah berjaya mengumpul sejumlah 622.44 kilogram sisa dan pencapaian ini mengukuhkan komitmen Universiti Curtin Malaysia terhadap penjagaan alam sekitar.
“Kita di SPACE berharap dapat meneruskan usaha dalam memelihara keindahan ekosistem pantai kita dan bersama-sama dengan orang lain dalam komuniti, mencipta masa depan yang mampan untuk generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Datuk Bandar Miri Ariffin Mohamad yang juga pensyarah Fakulti Kemanusiaan dan Sains Kesihatan Universiti Curtin Malaysia telah merasmikan acara pembersihan pantai tersebut. -EDISI UKAS